Balik dari bercuti di Kelantan tempoh hari, kami menuju ke Pekan, Pahang melalui jalan persekutuan. Tidak ada apa yang mahu dikejarkan, jadi boleh lah saya selitkan beberapa tempat untuk dijadikan pesinggahan.
Yang pertama, Masjid Lapan Kubah.
Masjid ini dibina bersempena nama Kampung Lapan Kotak di daerah Besut, Terengganu. Reka bentuknya menyebabkan masjid ini mendapat jolokan sebagai Masjid Russia, kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow.
Idea masjid ini dicetuskan oleh Dato Seri Idris Jusoh, ahli Parlimen Besut.
Masjid ini mula dibina pada September 2013 dan siap pada Mei 2017. Kos pembinaannya menelan belanja RM4.5 juta, hasil sumbangan daripada orang ramai. Masjid ini boleh memuatkan 500 jemaah pada satu-satu masa.
Kami tiba sewaktu matahari panas menyala di atas kepala. Masjid lengang, kerana bukan lagi waktu solat fardu. Yang ada pun entah kumpulan mana bermesyuarat di bahagian luar masjid. Sempatlah saya tegur seorang dua. Terkejut juga pakcik tu bila tahu saya dari Gombak. Agaknya saya lah orang Gombak pertama yang pakcik tu jumpa di perkarangan Masjid Lapan Kubah ini.
Seperti biasa, yang menemankan tentulah Hafiz. Sempat saya rakamkan video di dalam dan luar masjid. Bolehlah tonton di video di bawah.
Usai melawat, sudah menjadi kebiasaan saya mengisi sedikit wang ke dalam tabung masjid. Bercerita bukanlah mahu riak, tapi mahu dijadikan peringatan pada waktu lain, biarlah amalan ini berterusan. Hal berpahala atau mendapat balasan, biar Yang Maha Mengasihani itulah menentukan.
0 Comments