1 Oktober yang lepas, kami tiga beranak dan juga kakak saya mencemar duli menjejak kaki ke air terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Rancangan minit akhir sebenarnya, memandangkan kami kebuntuan tak ada apa nak buat aktiviti di hujung minggu.
Tak ingat bila kali terakhir ke sini, mungkin sekitar tahun 2012. Waktu tu bawa abang Haris, kakak Hanim dan sepupu mereka.
Air terjun Sungai Chilling ni bukanlah asing pada saya. Pertama kali ke sini kalau tak silap antara tahun 2000-2002. Rasanya masih bujang waktu tu.
Jauh beza keadaan sekarang dengan 20 tahun yang lepas.
- Pengunjung yang sangat ramai. Kedudukan air terjun Sungai Chilling yang dekat dengan Kuala Lumpur atau Lembah Klang mungkin menjadi faktor utama. Senang diakses.
- Semua orang boleh pergi. Kalau dulu aktiviti begini dikira sukan lasak, hanya orang muda saja yang terlibat. Tapi trek ke air terjun Sungai Chilling ini sangat mudah, orang tak biasa bersukan pun boleh pergi.
- Parking kereta agak susah kalau sampai lewat. Hari tu kami sampai tepat jam 9, sudah terpaksa mencari sudut di ruang paling hujung. Selepas kami, mungkin ada 4-5 kereta lagi yang muat.
- Ada food truck berjualan di kawasan parking. Ini rare!
- Sebaik masuk ke kawasan pendaftaran, sepanjang tepi sungai sudah penuh dengan khemah dan orang berkelah.
- Trek ke air terjun sangat mudah. Insya-Allah tak sesat. Ada penunjuk arah.
- Perlu merentas sungai sebanyak 6 kali. Yang pertama menggunakan jambatan, bakinya memang perlu memgharung air. Sekarang sudah disediakan tali untuk berpaut.
- Kami tiba di air terjun selepas satu jam, dan keadaannya meriah dengan orang ramai. Sangat berbeza sewaktu ke sana dengan kawan-kawan pejabat dulu, satu kolam tu hanya kami. Tak pernah lebih 20 orang rasanya. Hari ni, sesak!
- Ikan-ikan semakin banyak dan besar. Siap boleh terpijak waktu melangkah dalam sungai. Boleh beli dedak untuk rasai pengalaman menyuap ikan makan.
- Tandas kotor amat! Air bertakung. Rasanya pihak pengurusan dah boleh mula kenakan caj untuk penggunaan tandas, dan duit bayaran boleh digunakan untuk kerja selenggaraan. Jenuh oi nak kenc dan ber di sungai. Hahaha!
Walaupun air terjun Sungai Chilling sudah tidak setenang dulu (kehadiran manusia yang ramai), tapi sungainya tetap jernih, segar dan sejuk. Kami hanya merendam kaki, malas nak mandi disebabkan masalah mencari tempat nak menukar pakaian.
Sebelum balik, kami sempat singgah di pehentian sebelah empangan air Sungai Selangor. Perut dah lapar, ada pula yang menjual laksa di situ. Sempatlah bedal semangkuk sebelum balik.
Air terjun Sungai Chilling masih cantik. Insya-Allah, lain kali kita pergi lagi. Berendam.
Ini ada video pendek perjalanan kami ke sana.
0 Comments