Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan

"Jam, bawak mak pi merket sat."

Tok Leha, seperti panggilan cucu-cucunya,  berpesan dari tempat duduk belakang. Saya mengangguk mengiakan, terus memandu tenang melepasi Bayas sebelum tiba ke simpang berhampiran Klinik Kesihatan Padang Mat Sirat.

Saya mengintai melalui cermin pandang belakang. Wajah mak mentua yang kelihatan penat selepas rutin hemodialisis, tak menjadikan mak lupa untuk memastikan ada makanan terhidang di rumah.

Kereta saya belokkan ke kanan, mencari tempat meletak kereta yang paling hampir dengan pasar. Tok Leha turun, sekejap sahaja sudah hilang dari pandangan. Saya bergegas mengejar, membantu mengangkat barang-barang, dan membayar mana termampu.

Sesekali Tok Leha bersapa mesra dengan kenalan. Saya hanya tersengih-sengih apabila dikenalkan dengan rakan-rakan mak, bukan sebab sifat pemalu, tapi lebih kepada terkial-kial cuba memahami percakapan orang Langkawi yang pekat.

Ah, kenangan.

Itulah peristiwa beberapa tahun yang lalu. Hari ini, Tok Leha sudah tidak lagi ke hospital untuk hemodialis, tidak lagi ke merket mencari beronok untuk dibuat ulam. Mak sudah kekal di alam abadi.

Al-Fatihah untuk mak Zaleha Md Arif.


Merket

Pagi itu, pagi Ramadan 1446H yang terakhir. Saya ke 'merket' bersama puan isteri, anak Tok Leha nombor dua. Kami membeli sedikit banyak barang basah untuk masakan aidilfitri. Teruja, kerana sudah 8 tahun kami tak beraya di Langkawi. Semenjak ayah mentua tinggal bersama kami, kampung kami sudah 'hilang'. Namun tahun 2025, kami nekad untuk pulang beraya, keputusan yang diambil hanya selepas seminggu berpuasa.

"Mughah kak oi, mughah ni."

Pasar meriah dengan orang ramai, masing-masing ceria memilih ayam, daging dan ikan segar untuk dijadikan hidangan.

Saya terus mengekor Cik Milah. Mata melingas memerhatikan suasana.

Tahu-tahu, telefon saya keluarkan dari poket. Aplikasi kamera saya hidupkan. Diam-diam, sorok-sorok, saya rakamkan beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan. 

Seronok.

Hari ini, gambar ini mungkin tidak ada apa-apa makna.

Satu hari nanti, barangkali 'merket' sudah tak ada lagi orang-orang yang sama. Meriahnya pasar mungkin pudar. Hilang. 

Seperti Tok Leha.

Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan
Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan
Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan
Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan
Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan
Pasar Padang Mat Sirat Yang Mencoret Kenangan






Reactions

Post a Comment

0 Comments